Isu Pernikahan Bawah Umur

Ketua Penyelidik : PM Dr. Farahwahida binti Mohd Yusof

Pembantu Penyelidik : NurulHusna binti Sairi

Nama Penyelidikan : Model Permasalahan Dan Penyelesaian Pernikahan Bawah Umur Dalam Kalangan Masyarakat Islam Di Malaysia

Tempoh penyelidikan : 01/04/2013 – 31/03/2015

Abstrak

Isu berkaitan perkahwinan bawah umur bukan satu isu baru di Malaysia. Walaupun fenomena ini biasa dilihat dan diamalkan dalam era tahun 50an dan 60an, tetapi ia tidak lagi dilihat sebagai satu amalan yang ‘sihat’ pada masa ini.

Perkahwinan Baginda Rasulullah s.a.w. dengan Saidatina `Aisyah tidak wajar dijadikan alasan untuk memudahkan perkahwinan bawah umur. Perkahwinan bawah umur membabitkan remaja perempuan bawah 16 tahun menjadi tajuk perbincangan menjurus kepada pertembungan antara undang-undang syariah dengan pandangan bersandarkan kepentingan semua pihak terutamanya remaja berkenaan.

Adalah tidak dinafikan bahawa hukum syarak dan undang-undang syariah membenarkan perkahwinan remaja bawah umur 16 tahun tetapi ketentuan hukum ini perlu dinilai serta disemak semula sesuai dengan perkembangan serta perubahan kehidupan hari ini.

Sekiranya ada pihak yang mempertahankan keputusan membenarkan remaja bawah umur mendirikan rumah tangga, satu pihak lagi meminta pelbagai faktor seperti kesihatan dan sosial diberi perhatian sewajarnya demi kelangsungan sebuah perkahwinan.

Perkahwinan bawah umur memberi banyak kesan negatif kepada remaja terbabit. Jika dilihat dari segi kesihatan reproduktif dan seksual, selain menjejaskan mental dan emosi, ia turut menjejaskan sosial dan spiritual remaja berkenaan seperti yang diakaui oleh ramai pakar kesihatan reproduktif.

Walaupun syarak membenarkan perkahwinan bawah umur tetapi pengamal undang-undang perlu mengetahui bahawa ramai manusia yang sering mengambil kesempatan dan bertindak di luar batas kebiasaan.

Terdapat Seksyen 8, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah-wilayah Persekutuan (1984) dan enakmen-enakmen seumpamanya di peringkat negeri, namun persoalannya adakah akan ada pindaan terhadap undang-undang berkaitan selepas kes demi kes dikemukakan oleh media serta dibahaskan oleh masyarakat menampakkan kepincangan dan kesan yang besar terhadap diri remaja yang terlibat?