Biodeinking : Model Penyelesaian Pelupusan Al-Quran

Ketua Penyelidik : DR. ARIEFF SALLEH BIN ROSMAN
 
Pembantu Penyelidik : AINUL KAUTHAR BINTI KARIM
 
Nama Penyelidikan : MODEL PERMASALAHAN DAN PENYELESAIAN INOVATIF PELUPUSAN TEKS AL-QURAN DI MALAYSIA: KAJIAN TERHADAP KAEDAH PENYAHDAKWATAN ENZIMATIK (BIODEINKING)
 
Tempoh penyelidikan : 15/12/2013 – 15/12/2015 

Abstrak

Al-Quran merupakan kitab suci yang wajib dihormati. Kaedah melupuskan bahan yang mengandungi teks al-Quran adalah termasuk dalam hukum wajib menghormati mushaf al-Quran. Pengabaian kaedah pelupusan yang dinyatakan dalam perundangan Islam merupakan amalan yang menghina al-Quran dan pelakunya bukan sekadar berdosa besar, namun jika dilakukan dengan penuh kesedaran boleh menyebabkan seseorang terkeluar daripada Islam.

Oleh itu kajian ini dilakukan bagi mencapai objektif berikut: (1) Mengenalpasti tahap pematuhan masyarakat Islam di Malaysia terhadap hukum Syarak bagi melupuskan teks al-Quran, (2) Mengenalpasti faktor yang mempengaruhi tahap pematuhan masyarakat Islam di Malaysia kepada hukum Syara tentang pelupusan teks al-Quran, (3) Mengemukakan model penyelesaian inovatif berpandukan mekanisme penyahdakwatan enzimatik (biodeinking) bagi melupuskan teks al-Quran berasaskan Syariah.

Kajian ini menggunakan Explanatory Sequential Design iaitu penyelidik memulakan penyelidikan dengan mengumpul dan menganalisa data kuantitatif, untuk mencapai objektif pertama kajian. Instrumen yang digunakan adalah soal selidik. Ujian statistik yang akan digunakan dalam kajian ini adalah ujian pengelasan analisis faktor. Selanjutnya penyelidik akan mengumpul dan menganalisa data secara kuantitatif pada fasa kedua sebagai lanjutan daripada dapatan analisa kuantitatif.

Pada fasa kedua penyelidik menggunakan keputusan kuantitatif untuk membentuk soalan penyelidikan kualitatif, pensampelan, dan pengumpulan data, bagi mencapai objektif kedua dan ketiga. Pada fasa kedua, dapatan daripada data kuantitatif akan digunakan sebagai asas untuk data kualitatif yang akan dikumpul melalui analisa teks, temubual, pemerhatian, dan perbincangan kumpulan fokus.

Hasil penyelidikan ini akan mengemukakan satu model penyelesaian inovatif pelupusan teks al-Quran menggunakan kaedah biodeinking yang bertepatan dengan hukum Syarak. Model ini dapat membantu pihak berkuasa agama di Malaysia iaitu JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri melaksanakan proses pelupusan teks al-Quran yang praktikal dan mesra alam.