Iftar Jama’ie CFIRST

UNIVERSITI TEKNOLOGI MALAYSIA, 01 Julai 2015 – Pihak CFiRST telah mengadakan majlis berbuka puasa (iftar jama’ie) peringkat Centre of Excellent (COE) pada 14 Ramadhan yang lepas.

Seramai 61 orang telah hadir ke majlis Iftar Jama’ie CFiRST terdiri daripada staf akademik, staf pengurusan, staf penyelidikan, ahli-ahli felo penyelidik bersekutu, staf pembersihan dan pelajar praktikal CFiRST beserta keluarga masing-masing.

Majlis bermula jam 6.30 petang dengan kehadiran semua Warga CFiRST bersama keluarga dan upacara bual santai sesama ahli telah dimulakan sementara menunggu waktu berbuka. Setelah selesai berbuka puasa ringan dengan kurma dan air mineral, semua pihak yang hadir menunaikan solat Maghrib berjemaah berimamkan salah seorang felo penyelidik bersekutu CFiRST, Ustaz Juhazren Junaidi.

Selesai solat maghrib, semua hadirin menikmati juadah yang disediakan berserta ‘potluck’ oleh para ahli penyelidik sambil mendengar amanat Pengarah CFiRST, Prof. Madya Dr. Arieff Salleh bin Rosman. Majlis Iftar kali ini lebih bermakna apabila sepuluh orang staf terdiri daripada staf pengurusan dan staf penyelidikan telah menerima bonus Ramadhan atas pencapaian cemerlang.

Sesudah menjamu selera dan bersolat Maghrib, semua hadirin menunaikan solat Isyak dan Tarawih berjemaah. Majlis diakhiri pada jam 10.00 malam dengan sesi membungkus juadah lebihan untuk dibawa balik sebagai ‘berkat’ majlis iftar.

Diharapkan majlis berkenaan berjaya mencapai matlamat utamanya iaitu merapatkan ukhuwah sesama ahli CFiRST dan ahli keluarga.