MoU ANTARA UTM DAN UNITED NATIONS UNIVERSITY INTERNATIONAL INSTITUTE FOR GLOBAL HEALTH (UNU-IIGH)

UTM_9457

MAJLIS PENYERAHAN DOKUMEN PERJANJIAN PERSEFAHAMAN (MoU) ANTARA UTM DAN UNITED NATIONS UNIVERSITY INTERNATIONAL INSTITUTE FOR GLOBAL HEALTH (UNU-IIGH)

 

KUALA LUMPUR, 24 Julai 2013: – Satu majlis penyerahan dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara UTM dan United Nations University International Institute For Global Health (UNU-IIGH) telah diadakan di Bilik Mesyuarat Canseleri, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.

Majlis telah dihadiri oleh Prof. Dr. Ali bin Selamat, Dekan K-Economy Research Alliance UTM mewakili Y. Berbahagia Prof. Ir. Dr. Mohd Azraai bin Kassim, Pemangku Naib Canselor UTM; Y. Berbahagia Prof. Dato’ Syed Mohamed Aljunid, Felo Penyelidik Kanan / Pemangku Pengarah UNU-IIGH); Prof. Dr. Eko Supriyanto, Pengarah, Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan Kardiovaskular UTM-IJN, penyelidik – penyelidik UTM dan UNU-IIGH.

Matlamat utama perjanjian persefahaman ini adalah untuk mewujudkan kerjasama dalam bidang berkaitan kelestarian kesihatan global, penyelidikan dan pembangunan sistem Case Mix (sistem pengukuran prestasi hospital untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan di hospital dan juga bertindak sebagai sistem maklumat yang membenarkan pembuat polisi memahami dasar dan kerumitan perkhidmatan penjagaan kesihatan) dan Clinical Pathway (garis panduan pengurusan pelbagai disiplin perubatan) serta pembangunan perisian keselamatan informatik penjagaan kesihatan.

Melalui MoU ini juga, kedua – dua pihak akan bekerjasama untuk membangunkan dan melaksanakan program pasca siswazah dalam bidang kesihatan awam dan pengurusan penjagaan kesihatan di Malaysia, khususnya dan di peringkat antarabangsa amnya.

MoU ini juga menunjukkan kesungguhan semua pihak di dalam menyokong usaha kerajaan dalam membina Malaysia sebagai sebuah negara maju pada tahun 2020,  melalui perancangan pengurusan yang strategik dan sistematik dalam menangani isu-isu yang berkaitan dengan teknologi penjagaan kesihatan yang lestari.

Pihak UTM  berharap dengan termeterai MoU ini, ia akan menjadi titik mula ke arah pelbagai usahasama lain pada masa hadapan di dalam perkongsian kepakaran khususnya untuk melonjak lagi aktiviti penyelidikan di negara ini. Ia juga akan meningkatkan lagi tahap ilmu dan kemahiran pelbagai pihak yang terlibat dan amat yakin bahawa usaha ini akan menempatkan universiti ini ke tahap yang lebih tinggi di persada dunia.